…sesungguhnya tidak akan masuk syurga melainkan orang yang bersih.

Bersuci itu sebahagian daripada iman.

~sabda Rasulullah s.a.w

wudhu'

Sebagai seorang muslim kita tidak akan terlepas dari ‘bersuci’. Sekurang-kurangnya kita bersuci 5 kali sehari atau 3 kali bagi yang musafir iaitu dengan berwudhuk. Walaubagaimana pun tahukah anda apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan bersuci?

Dari segi bahasa : menyucikan dan membersihkan diri dari segala kekotoran sama ada yang kelihatan ataupun yang tidak kelihatan.

Dari segi syarak : mengangkat atau menghilangkan hadas dengan air atau debu yang dapat menghilangkan kekotoran dan najis.

…SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.

~al-Baqarah: 222

Dengan bersuci seorang muslim dapat membuang halangan dari menunaikan solat atau  ibadat-ibadat lain yang memerlukan seseorang itu dalam keadaan suci. Jika seseorang itu solat kemudian sewaktu solat ataupun setelah selesai solat dia teringat yang dia tidak bersuci maka solatnya tidak sah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

Tidak akan diterima solat tanpa bersuci…

~ HR Muslim

Bersuci boleh dilakukan dengan menggunakan air, batu dan juga debu.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

Sesungguhnya air itu dapat menyucikan, yang tidak dibuat najis oleh sesuatu.

~ HR Abu Dawud

Antara air yang boleh digunakan untuk bersuci adalah air hujan, air mata air, air daripada salji yang cair, air sungai dan air laut.

…Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya…

~al-Anfal: 11

Rasulullah bersabda, maksudnya:

Air laut adalah air yang boleh menyucikan dan bangkai darinya halal.

~ HR Abu Dawud

Terdapat juga air yang suci tetapi tidak boleh digunakan untuk menyucikan diri tetapi boleh diminum iaitu air yang telah berubah salah satu sifatnya; (bau, rasa dan warna) kerana telah dicampurkan atau bercampur dengan bahan suci yang lain seperti kopi, teh, sirap dan sebagainya, atau air yang dihasilkan daripada buah iaitu jus.

Selain itu, air yang kurang dari 2 kullah yang telah digunakan untuk menyucikan hadas juga tidak boleh digunakan untuk menyucikan hadas walaupun air tersebut belum atau tidak berubah sifat asalnya.

Jika air yang pada asalnya suci telah berubah warna dan bau akibat daripada najis, maka air tersebut telah menjadi najis juga, air ini disebut sebagai air mutanajis. Walaubagaimanapun, jika air yang terkena najis itu lebih daripada 2 kullah dan tidak berubah sifat asalnya, maka air tersebut masih lagi suci dan boleh digunakan untuk menyucikan diri.

Selain air, debu yang suci juga boleh digunakan bagi menggantikan air untuk bersuci sekiranya ketiadaan air, ataupun penggunaan air boleh mendatangkan bahawa kepada seseorang itu seperti sakit dan sebagainya.

…dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.

~al-Maidah: 6

Kita juga perlu menggunakan tanah untuk bersuci bagi hal najis mughallazah disamping penggunaan air. Manakala batu pula digunakan untuk beristinjak apabila ketiadaan air.

Sebagai seorang muslim, kita perlulah menyucikan diri daripada najis dan juga hadas. Menyucikan diri daripada najis tidak memerlukan kita berniat, tetapi berlainan pula dengan menyucikan diri daripada hadas kerana terdapat keperluan untuk berniat padanya.

Kita dituntut untuk bersuci kerana dengan bersuci dapat melahirkan umat Islam yang bersih dan menjadi teladan dan contoh kepada kaum lain.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

Agama Islam itu bersih, maka hendaklah kamu melakukan pembersihan, sesungguhnya tidak akan masuk syurga melainkan orang yang bersih.

Tahukah anda?

Tuntutan bagi menyegerakan menyucikan najis adalah wajib, manakala tuntutan bagi menyucikan hadas adalah sunat disegerakan.

rujukan:

  1. Dr. Sa’id bin Ali bin Wahaf al-Qahthani. (2006). Panduan Bersuci. Jakarta, Penerbit Almahira.
  2. Roudlatun & Darnoto. (2005). Tuntunan Shalat Praktis. Depok, QultumMedia.
  3. Dato’ Haron Din, Abu Hassan Din al-Hafiz (Datuk), Ishak Din. (2007). Dato’ Dr. Haron Din menjawab persoalan fikah harian. Kuala Lumpur: PTS Milennia Sdn Bhd

Leave a comment